Amir Mamat


Ayer Keroh: Seorang bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diarahkan membayar denda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Norshahril Ramlee, 40, selepas membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu menjawat jawatan Pembantu Tadbir Kanan di Unit Kewangan Kemas Melaka dituduh menerima wang tunai berjumlah RM2,500 tanpa balasan daripada individu bernama Mohd Hyzery Elec, yang mana tertuduh mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di 379-1 Jalan Melur 1, Taman Peringgit Jaya, dalam daerah Melaka Tengah pada 14 November 2016.

Bagi kesalahan itu, Norshahril dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

NORSHAHRIL Ramle dijatuhi hukuman denda RM3,000 selepas mengaku salah menerima suapan lima tahun lalu. FOTO Amir Mamat
NORSHAHRIL Ramle dijatuhi hukuman denda RM3,000 selepas mengaku salah menerima suapan lima tahun lalu. FOTO Amir Mamat

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 2:57 PM