MOHD Nizu merakam gambar ketika menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana di Palu, Sulawesi, Indonesia pada 14 hingga 25 Oktober lalu. FOTO ihsan APM.
MOHD Nizu merakam gambar ketika menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana di Palu, Sulawesi, Indonesia pada 14 hingga 25 Oktober lalu. FOTO ihsan APM.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“PENGALAMAN mengangkat lapan mayat termasuk seorang kanak-kanak yang reput dan berbau menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang mengikuti operasi di Palu.”

Demikian kata Anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kapten (PA) Mohd Nizu Husin, yang menjadi anggota tunggal APM Terengganu terpilih mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Bencana di Palu, Sulawesi, Indonesia pada 14 hingga 25 Oktober lalu.

Mohd Nizu berkata, dia bertuah dan berterima kasih kepada APM kerana memilihnya untuk menjayakan misi itu, sekali gus memberinya pengalaman baharu.

“Selama 14 tahun berkhidmat dalam APM, saya pernah terbabit dengan pelbagai operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan bencana di negara ini.

“Bagaimanapun bencana yang menimpa Palu, memberi pengalaman dan ilmu baru kepada saya serta boleh dimanfaatkan pada masa akan datang.

“Saya tidak pernah melihat kesan bencana seteruk di Palu, operasi menyelamat yang dijalankan mempunyai cabaran berlainan berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan APM Negeri kepadanya di Kuala Nerus, hari ini.

Beliau bersama 16 anggota APM dari seluruh negara dan 40 ahli sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terbabit menjayakan misi berkenaan.

“Sepanjang berada di sana, kami masih merasai gegaran susulan berskala kecil di kawasan Palu. Perasaan bimbang jangan cakaplah...sentiasa kena ambil langkah berjaga-jaga.

“Difahamkan lebih 1,000 mangsa yang ditimpa runtuhan rumah dan pergerakan tanah masih dalam proses untuk dikeluarkan di kawasan Petobo.

“Sepanjang berada di sana, anggota APM diberi kebenaran menyertai operasi SAR bersama pasukan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia dan ia satu penghormatan kepada warga APM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya turut berbangga dengan pemilihan anggota PASPA negeri itu menyertai misi berkenaan.

“Kami berharap Mohd Nizu menjadi pemangkin kepada pegawai dan anggota lain untuk memberi khidmat dan sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Mohd Nizu menjadi anggota pertama yang terpilih menyertai misi di luar negara dalam tempoh enam tahun berdasarkan prestasinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 11:22 PM