Eizlan teruja dan bersyukur dapat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palu, Sulawesi. FOTO HM Digital
Eizlan teruja dan bersyukur dapat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palu, Sulawesi. FOTO HM Digital
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON, Leftenen Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Seri Eizlan Yusof, 46, teruja dan bersyukur dapat mengikuti misi bantuan kemanusiaan siri ketiga ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia pada 15 sehingga 19 November depan.

Eizlan dihubungi berkata ini adalah misi pertama disertainya sejak bergelar artis dan menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tahun lalu.

"Saya sudah membuat segala persiapan mental dan fizikal untuk menyertai misi ketiga ini sejak pihak APM melalui CDERT Ohhsem Network mengumumkan mahu menghantar sukarelawan pada misi pertama dan kedua ke lokasi bencana bulan lalu.

"Saya hanya berserah kepada segala bentuk bantuan yang diperlukan di sana pada masa itu dan jika diminta untuk membantu mencari mayat mangsa, saya akan lakukan," katanya.

Antara persediaan dilakukan adalah beliau sudah pun mengambil suntikan vaksin Typhoid dan ATT bagi mengelak penyakit berjangkit.

Katanya, sebelum ini beliau tidak terlibat secara langsung tapi sejak bersama APM sebagai pegawai bersekutu, beliau menganggap ia sebagai satu tanggung jawab untuk memberi bantuan.

"Saya sudah lama nak sertai misi seperti ini sedari dulu tapi tiada 'platform' sesuai tapi sejak menyertai APM, ia memudahkan saya merealisasikan impian itu," katanya bangga.

Eizlan akan bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM YAS TPj (PA) Datuk Roslan Wahab, pegawai kehormat, pegawai bersekutu serta sukarelawan APM dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Beliau turut mengalu-alukan peminatnya dan masyarakat yang ingin menghulurkan bantuan atau sokongan agar mengunjungi mana-mana cawangan APM dan MAPIM negeri.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu pada 28 September lalu mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 3:27 PM