Iskandar Shah Mohamed

AHLI perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan menipu dan memalsukan watikah pengurniaan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP).

Tertuduh, Wan Yon Ann, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Tan Wai Khan, 40, supaya mempercayai watikah pengurniaan DIMP itu adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,000.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, jam 9.30 malam, 18 Ogos lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, Yon Ann didakwa memalsukan dokumen watikah itu menggunakan nama mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamudin Abdul Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam bela Shalehuddin Salam.

Rini Triany kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan kes disebut semula pada 9 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 8:48 PM