Tertuduh, Zainal Abu Bakar (depan baju oren) dan Tuah Shah Abdul Rahman (belakang baju kelabu) dihadapakan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan tipu menjual darjah kebesaran Melaka serta tauliah Jaksa Pendamai. FOTO AMIR MAMAT
Tertuduh, Zainal Abu Bakar (depan baju oren) dan Tuah Shah Abdul Rahman (belakang baju kelabu) dihadapakan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan tipu menjual darjah kebesaran Melaka serta tauliah Jaksa Pendamai. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan menipu dan memalsukan watikah kebesaran kerajaan negeri Melaka.

Tertuduh, Tuah Shah Abdul Rahman dan Zainal Abu Bakar masing-masing berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Tuah Shah berhadapan dengan 10 pertuduhan di bawah Seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah penggunaan yang tidak betul (pindaan) 2016, Enakmen 1981 kerana mencetak watikah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) dan Jaksa Pendamai (JP) atas nama individu berlainan tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Ladang, Krubong, di sini, antara 7 September hingga 14 Disember tahun lalu.

Zainal pula didakwa dengan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah penggunaan tidak betul) (Enakmen a21) kerana menggunakan gelaran Datuk bagi tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Merdeka, Batu Berendam pada 27 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan bersama iaitu memperdaya dua individu dalam urusan mendapatkan watikah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) sehingga mendorong mangsa membuat bayaran RM100,000.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Arshad dan Nor Azizah Yusof manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Nariman kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:27 PM