SURES berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sendiri, dua minggu lalu. FOTO Roslin Mat Tahir.
SURES berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sendiri, dua minggu lalu. FOTO Roslin Mat Tahir.
Siraj Mohd Zaini


SEORANG penganggur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sendiri, dua minggu lalu.

Tertuduh, P Sures Roo, 35, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Sures didakwa membunuh Dharma Raj, 34, di tanah lapang berhampiran Lot 10237, Batu 5 1/14 Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, antara 4 hingga 4.30 petang pada 7 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman dan kes disebut semula 1 April depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa mati akibat ditetak sebanyak 25 kali di bahagian muka, badan dan kaki termasuk lapan kesan tetakan serius.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua mereka mengenali satu sama lain dan motif kejadian dipercayai akibat rasa cemburu kerana mangsa didakwa mengganggu isteri tertuduh ketika dirinya meringkuk di dalam penjara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:07 PM