GAMBAR fail menunjukkan Rini (tiga dari kiri) bersama Jokowi dan pemimpin Indonesia lain.
GAMBAR fail menunjukkan Rini (tiga dari kiri) bersama Jokowi dan pemimpin Indonesia lain.
Agensi

Jakarta: Menteri Syarikat Milik Kerajaan, Rini Soemarno kelmarin menafikan dakwaan bahawa dia menghina Presiden Joko Widodo (Jokowi) di tempat awam.

“Sebagai pembantu Jokowi, sudah pasti saya menghormati beliau,” kata Rini kepada wartawan.

Dakwaan itu timbul selepas, wakil rakyat dari Parti Demokratik Indonesia untuk Perjuangan (PDI-P), Masinton Pasaribu mendakwa seorang menteri wanita di sektor kewangan menghina Jokowi dengan menggelar beliau presiden yang tidak tegas.

Menteri Dalam Negeri, Tjahjo Kumolo yang juga dari PDI-P turut mendakwa seorang menteri membuat kenyataan yang memperlekeh Jokowi dalam satu majlis di gereja.

Beberapa laporan turut menyiarkan ucapan yang didakwa dikeluarkan Rini pada majlis itu selepas dia didakwa bakal dipecat oleh Jokowi kerana mencapai prestasi yang ditetapkan.

“Presiden perlu tunjukkan dan jelaskan kesalahan saya yang membolehkan saya dipecat.

“Belum tentu Presiden memahami tugas saya dan beliau juga tidak memahami apa-apa pun,” katanya dalam ucapan berkenaan.

Rini yang berang dengan dakwaan itu mencabar mereka yang menuduhnya supaya mengemukakan bukti.

“Siapa yang keluarkan tuduhan berkenaan? Minta beliau kemukakan bukti,” tegasnya.

Setiausaha Negara, Pratiko mengesahkan Jokowi mengetahui dakwaan berkenaan tetapi tidak menghiraukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 7:15 AM