Siraj Mohd Zaini dan Ruwaida Md Zain

SUASANA sedih dan sayu menyelubungi perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam apabila van jenazah yang membawa semua enam anggota bomba Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) tiba, 8.40 pagi hari ini.

Difahamkan, semua jenazah dibawa dari Hospital Serdang selepas selesai menjalani proses bedah siasat awal pagi tadi.

Terdahulu, anggota dan pegawai bomba membaca tahlil dan yasin sementara menunggu ketibaan van jenazah pagi ini.

Antara yang kelihatan hadir termasuklah bekas Menteri Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan(KPKT) Tan Sri Noh Omar; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hamdan Wahid; Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Mohammad Mantek.

Solat jenazah sedang berjalan ketika ini selain jenazah akan diberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam tadi.

Keenam-enam yang terkorban termasuk empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Semua mereka berasal dari Sibu, Sarawak; Tawau, Sabah; Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan; Port Dickson, Negeri Sembilan; dan Beserah, Pahang.

Berita berkaitan

Terkejut misi cari anak ragut nyawa bomba

Pilunya...

[UPDATE] Pusaran air disyaki punca bomba lemas [METROTV].

[UPDATE] Lemas lepas terbelit tali.

[UPDATE] 6 bomba lemas dikenal pasti.

[UPDATE] Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:30 AM
JENAZAH enam bomba yang lemas di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah. FOTO Saddam Yusoff
JENAZAH enam bomba yang lemas di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah. FOTO Saddam Yusoff