MOHD AZZAM mengucapkan takziah kepada keluarga anggota PPDA terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat anaknya di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong. -Foto SAIRIEN NAFIS
MOHD AZZAM mengucapkan takziah kepada keluarga anggota PPDA terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat anaknya di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong. -Foto SAIRIEN NAFIS
Mohd Azam Shah Yaacob


BAPA remaja yang hilang di lombong berhampiran kawasan perumahan D’Island, Taman Putra Perdana mengucapkan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia ketika operasi mencari dan menyelamat anaknya.

Mohd Azzam Naim, 46, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa enam anggota pasukan berkenaan meninggal dunia akibat lemas.

“Saya terkejut apabila mendengar berita itu.

“Saya tidak sangka pula operasi mencari anak saya, Mohd Ilham Fahmy bertukar tragedi lebih menyedihkan,” katanya.

Mohd Azzam berkata, sebelum ini kira-kira dua bulan lalu, dua lelaki turut dilaporkan lemas ketika menjala ikan di situ.

Katanya, tragedi yang berlaku itu diharap menjadi iktibar bagi penduduk di situ agar tidak menceroboh kawasan berkenaan bagi menangkap ikan selain perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri.

“Kawasan pintu air ini memang tidak berpagar dan menjadi tempat penduduk di sini untuk menangkap ikan.

“Malah, ketika dua lelaki dilaporkan lemas dua bulan lalu, saya sendiri ada menasihatkan anak saya supaya tidak ke sana lagi. Tapi tak sangka pula hari ini dia pergi ke sana bersama rakannya,” katanya.

Menurut Mohd Azzam, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik malah dia sempat berpesan kepada anaknya agar tidak pergi ke situ berikutan keadaan cuaca yang kerap hujan.

“Kelmarin, saya ada pesan padanya agar tidak pergi ke situ kerana bahaya disebabkan cuaca sekarang kerap hujan.

“Jadi, saya tidak sangka dia datang ke sini selepas diajak dua rakannya kira-kira 4 petang semalam,” katanya.

Menurut Mohd Azzam, dia hanya mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan oleh seorang lagi anak lelakinya kira-kira 5 petang semalam.

“Harapan saya agar mayat anak saya dapat dijumpai secepat mungkin,” katanya yang masih terkejut dengan insiden yang berlaku.

Pilunya...

[UPDATE] Pusaran air disyaki punca bomba lemas [METROTV].

[UPDATE] Lemas lepas terbelit tali.

[UPDATE] 6 bomba lemas dikenal pasti.

[UPDATE] Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 7:32 AM