Mohd Azam Shah Yaacob

ENAM anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang maut ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, lemas selepas terbelit tali, akibat arus deras, yang datang tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, keenam-enam anggota berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang berada di lokasi ketika operasi menyelamat diadakan.

“Ketika kejadian, keenam anggota penyelam berkenaan sudah lima minit berada dalam air bagi mengesan remaja yang hilang itu.

“Namun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan kesemua mangsa terbelit tali yang dipasang antara satu sama lain dan dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai tertanggal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Aziz berkata, beberapa anggota bomba yang berada di atas tebing cuba menarik tali yang mengikat mangsa, namun tidak berjaya akibat arus terlalu deras.

MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba

Katanya, mangsa pertama berjaya dikeluarkan selepas 30 minit usaha menarik mereka berhasil.

“Ketika dibawa keluar, kesemua anggota penyelam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Paramedik yang berada di lokasi ketika itu turut cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun kesemua mangsa tidak memberi tindak balas dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurut Abdul Aziz, kesemua mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keluarga mangsa turut dimaklumkan.

Berita berkaitan

[UPDATE] 6 bomba lemas dikenal pasti

[UPDATE] Enam bomba lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:58 AM