GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


MAHU mengait buah kelapa sawit. Itu antara alasan diberikan lima penagih yang ditahan polis ketika serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Tiga, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis menjalankan siasatan dan risikan sebelum menyerbu sarang penagihan dadah dikenali Kebun Cilan itu jam 12.45 tengah hari.

Katanya, kebun berkenaan terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan penduduk di tanah rancangan itu dan dipercayai dijadikan tempat menagih dadah sejak tiga minggu lalu.

“Hasil serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol berjaya menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan menemui dadah jenis heroin dianggarkan seberat 1.13 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, polis kemudian menunggu kira-kira 30 minit sebelum berjaya menahan empat lelaki dipercayai masuk ke ladang itu untuk menagih dadah.

“Semua suspek berusia 30-an itu dibawa ke IPD Jempol dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis morfin,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 1:12 PM