HM Digital

Seremban: Seorang pengawal keselamatan dan jurujual dalam talian direman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan meminta suapan RM3,800 daripada seorang operator trak tunda, Selasa lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Siti Huzaifah Abdul Talib selepas permohonan dibuat Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim.

Perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek berusia 24 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam kejadian jam 11.30 malam Selasa minggu lalu, pengadu yang bekerja sebagai operator trak tunda ke Persiaran Perdana Nilai selepas dimaklumkan mengenai satu kemalangan jalan raya.

PENGAWAL keselamatan dan jurujual dalam talian dibawa ke  Mahkamah Majistret Seremban bagi membantu siasatan kes rasuah.
PENGAWAL keselamatan dan jurujual dalam talian dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi membantu siasatan kes rasuah.

Dikatakan berlaku pergaduhan akibat perselisihan faham dengan suspek yang terbabit dengan kemalangan kerana seorang lagi pemandu yang turut terbabit kemalangan mendakwa dipukul suspek.

Selepas berbincang, suspek dan seorang lagi pemandu yang terbabit kemalangan bersetuju membuat aduan di balai polis.

Bagaimanapun kelmarin, jam 7 malam, pengadu dihubungi suspek meminta suapan RM3,800 sebagai balasan untuk menarik balik laporan polis kononnya ketika pergaduhan sebelum ini pengadu menghunus pisau terhadapnya.

Bagaimanapun, jam 2 petang semalam, kedua-dua suspek ditahan SPRM dalam satu operasi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:55 AM