Avila Geraldine

Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret, di sini, semalam membebaskan seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan meminta rasuah RM35,000 daripada seorang lelaki.

Suapan itu didakwa sebagai balasan mengeluarkan geran tanah milik arwah bapa mangsa yang ditahan di Pejabat Tanah dan Ukur Beaufort.

Majistret Stephanie Sherron Abie memerintahkan lelaki berusia 46 tahun itu yang bertindak sebagai orang perantaraan atau runner, dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan dua penjamin tempatan serta diperintah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekali sebulan.

Suspek sebelum ini direman lima hari sejak 9 Februari lalu sebelum remannya berakhir Selasa lalu dan disambung lima hari lagi sehingga 18 Februari ini.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basiruddin berkata, suspek dilepaskan lebih awal dari tempoh reman berakhir yang sepatutnya Ahad ini kerana SPRM sudah selesai merakamkan kenyataannya.

LELAKI dipercayai terbabit kes rasuah dibebaskan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
LELAKI dipercayai terbabit kes rasuah dibebaskan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Pada 8 Februari lalu, lelaki itu bersama seorang penjawat awam yang juga Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah dan Ukur Beaufort ditahan SPRM masing-masing di restoran di Beaufort dan Pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan aduan mangsa pada hari sama.

Berdasarkan fakta kes, suspek yang bekerja sendiri dipercayai meminta RM35,000 daripada mangsa sebagai balasan mengeluarkan geran tanah milik arwah ayah mangsa daripada ditahan di Pejabat Tanah dan Ukur Beaufort.

Siasatan mendapati kakitangan jabatan disyaki berpakat dengan suspek yang bertindak sebagai perantara meminta suapan daripada mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 9:07 AM