KONVOI disertai komuniti pengendali trak tunda, kelab kereta dan motosikal. FOTO Ihsan MAWMAA
KONVOI disertai komuniti pengendali trak tunda, kelab kereta dan motosikal. FOTO Ihsan MAWMAA
Nurul Husna Mahmud

Kempen siri Jelajah AWAS julung kali dianjurkan Persatuan Agensi Pemasaran Bengkel Automotif Malaysia (MAWMAA) dijangka mendapat penyertaan lebih 200 pemilik trak penunda membabitkan Zon Utara selain disertai 40 kereta daripada Kelab BMW (Bimmer Utara) dan juga 30 motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR dari Kelab GTROC UTARA.

Kempen membawa mesej mengenai kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya itu dilihat sebagai landasan terbaik membina persepsi lebih positif pengguna jalan raya terhadap peranan penunda trak.

Pembukaan kempen berkenaan membabitkan program jelajah bermula dari Perak, Pulau Pinang dan Kedah itu turut mendapat sokongan penuh agensi yang berkepentingan dalam aspek keselamatan jalan raya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengiringi konvoi berkenaan dari Pulau Pinang hingga ke Sungai Petani iaitu lokasi pelancaran rasmi kempen terbabit.

Menurut Presiden MAWMAA, Khamarulzaman Murad, program itu dijangka berterusan sehingga April membabitkan zon lain termasuk Sabah dan Sarawak untuk memberi kesedaran berkenaan kepentingan membudayakan sikap berwaspada ketika memandu dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Ketika ini setiap minit satu kemalangan berlaku membuatkan kami daripada persatuan pengusaha dan pengendali trak tunda mengambil inisiatif melancarkan kempen Jelajah AWAS 2018/19.

“Selaku pihak yang pertama selalu tiba ke lokasi kemalangan, ada ketikanya kami rasakan peranan harus diperluas dalam menyalurkan bantuan terhadap mangsa kemalangan.

“Sedar atau tidak, pengguna jalan raya masih skeptikal terhadap pengendali trak tunda membuatkan ada kala ‘niat murni’ kami berdepan dengan halangan. Sedangkan ada segelintir kami mempunyai hubungan baik dengan agensi berwajib kerana disiplin dan profesionalisme ketika menjalankan tugas,” katanya.

KETERANGAN mengenai aplikasi yang memberi manfaat kepada ahli. FOTO Ihsan MAWMAA
KETERANGAN mengenai aplikasi yang memberi manfaat kepada ahli. FOTO Ihsan MAWMAA

Kata Khamarulzaman, pihaknya serius untuk meningkatkan pergerakan saluran bantuan bagi kes kemalangan di jalan raya.

Dalam program sama, pihaknya turut berkolaborasi dengan syarikat tempatan mewujudkan aplikasi khas bagi menghubungkan orang ramai dengan pengendali trak tunda yang mempunyai kredibiliti.

“Kolaborasi kami bersama satu syarikat tempatan menerusi satu aplikasi, MMSOS 365 Care Support diharap membantu menaikkan kualiti perkhidmatan kami dalam kalangan pengguna jalan raya. Manfaatnya, mereka yang menggunakan aplikasi ini boleh mengenal pasti bantuan kecemasan seperti tol tunda yang sedia mempunyai gerak kerja lebih profesional dan berdisiplin.

“Dalam pada itu, kebaikan untuk komuniti trak penunda pula, reputasi mereka terhadap pengguna jalan raya ditingkatkan apabila terdapat prosedur standard diguna pakai sebelum mereka turun ke lapangan,” katanya.

Tambah Khamarulzaman, ketika ini ada lebih 400 trak penunda yang berdaftar dengan persatuannya dan menganggarkan kira-kira 300 masih belum menyatakan komitmen bersama persatuan.

“Bagi MAWMAA, besar harapan kami apabila bergerak dalam persatuan ini, kewujudan kami mendapat perhatian kerajaan agar dapat menyalurkan insentif, dana atau geran tertentu untuk keperluan dan kebajikan ahli,” katanya.

KEMPEN jelajah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya. FOTO Ihsan MAWMAA
KEMPEN jelajah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya. FOTO Ihsan MAWMAA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:49 AM