Aizat Sharif

Alor Setar: Seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana cuba merasuah anggota polis marin dengan nilai suapan RM1,600 di Langkawi bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Soe Moe Thu, 33 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh cuba memberi suapan RM1,600 kepada anggota polis marin, Inspektor Mohd Yushaini Abu Bakar pada 26 April 2018 jam 3.30 petang di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Persiaran Putra, Kuah, Langkawi, Kedah.

Soe   (kanan dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan  rasuah.
Soe (kanan dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan rasuah.

Suapan itu sebagai dorongan melepaskan diri selepas ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:59 AM