PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda (baju putih) meninjau bazar Ramadan Mahkota Square. FOTO Asrol Awang
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda (baju putih) meninjau bazar Ramadan Mahkota Square. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


LIMA peniaga bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dikompaun RM250 seorang kerana masih menggunakan dawai kokot untuk pembalut makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda berkata, mereka yang dikesan melanggar syarat ditetapkan, masing-masing berniaga di bazar Ramadan Taman Tas dan Balok di Kuantan.

Bermula 1 hingga 7 Ramadan lalu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu lebih kepada memberi amaran lisan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan.

"Bagaimanapun, kegagalan peniaga mematuhi syarat ditetapkan iaitu tidak menggunakan dawai kokot untuk membalut makanan seperti kuih tako dan pulut panggang, MPK bertindak mengeluarkan kompaun terhadap lima peniaga yang ingkar.

"Di kawasan pentadbiran MPK, sebanyak 33 bazar Ramadan diluluskan tahun ini yang membabitkan 1,893 peniaga, termasuk 1,524 menjual makanan dan minuman," katanya.

Abdul Rahim berkata demikian pada sidang media selepas meninjau bazar Ramadan Mahkota Square, di sini, petang semalam.

Sehubungan itu, katanya, semua peniaga perlu mematuhi syarat menggunakan bekas makanan berpenutup lutsinar, mementingkan kebersihan tempat berniaga dan persekitaran serta memakai penutup mulut ketika berniaga.

"Peraturan itu bukan saja di kawasan pentadbiran MPK, malah di seluruh daerah di Pahang untuk memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan.

"Pada masa sama, harga makanan dan minuman yang dijual juga perlu berpatutan," katanya.

Bermula 1 Ramadan, beliau berkata, pegawai penguat kuasa MPK melakukan pemantauan bagi memastikan kelancaran di semua bazar.

"Tahun ini, MPK akan menyampaikan anugerah cemerlang kepada peniaga yang mengutamakan aspek kebersihan, teknik pembungkusan, pemakaian dan khidmat pelanggan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 10:24 AM