SUASANA di Bazar Ramadan Taman Kerang, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
SUASANA di Bazar Ramadan Taman Kerang, Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Asrol Awang


PENGANUGERAHAN Peniaga Cemerlang Bazar Ramadan 2019 dapat mewujudkan budaya peniaga kelas pertama yang mengutamakan aspek kebersihan, sejajar dengan tuntutan agama.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Fadzilla Salleh berkata, selain itu, ia juga meningkatkan imej persekitaran perniagaan di bandar Kuantan yang lebih kemas, tersusun dan berketrampilan.

Katanya, sikap positif itu juga bakal melahirkan komuniti peniaga berintegriti dan tidak bermotifkan keuntungan semata-mata.

“Atas sebab itu, kami mengadakan majlis Anugerah Peniaga Cemerlang yang bertujuan membentuk keperibadian peniaga mengutamakan kebersihan, bukan sahaja dari aspek makanan dijual, malah persekitaran.

“Pada Ramadan tahun ini, fokus dan kriteria penilaian ialah kebersihan bekas makanan bertutup, pemakaian penutup mulut dan penggunaan sarung tangan.

“Kawalan mutu makanan, kelengkapan dan peralatan perniagaan, mesra dan mematuhi undang-undang juga antara yang diambil kira Jawatankuasa Khas Penilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Peniaga Cemerlang kepada 10 peniaga di Bazar Ramadan Mahkota Square, di Kuantan semalam.

Anugerah disampaikan isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohammed.

Sementara itu, penerima anugerah, Mohamed Rosdi Dol, 41, berkata, dia tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan selepas tiga tahun berniaga di Bazar Ramadan Mahkota Square.

Katanya, anugerah itu memberi motivasi untuk memastikan aspek kebersihan terus menjadi keutamaan bagi memastikan produk makanan dijual kepada pelanggan bersih dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:54 AM