ABDUL Rahim melihat peralatan dan bahan makanan di bahagian dapur di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
ABDUL Rahim melihat peralatan dan bahan makanan di bahagian dapur di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


TIADA lagi budi bicara diberikan terhadap pemilik restoran di Pahang yang mengulangi kesalahan melanggar syarat perniagaan membabitkan kebersihan penyediaan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abdul Rahim Muda berkata, jika dikesan mengulangi kesalahan sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menarik balik lesen perniagaan restoran terbabit.

Katanya, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan pemilik restoran, terutama pengendali makanan mematuhi syarat yang ditetapkan dari segi aspek kebersihan.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana kita mahu aspek kebersihan tidak diabaikan bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

“Oleh itu, semua PBT di Pahang diminta bertindak tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi syarat ditetapkan” katanya.

Abdul Rahim ditemui selepas mengetuai operasi bersih bersama 25 pegawai dan anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di dua restoran di Jalan Wong Ah Jang, di Kuantan, hari ini.

Turut serta dalam operasi itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan MPK, Datuk Wan Solihi Wan Hassan; Pengarah Jabatan Pengurusan dan Penguatkuasaan MPK, Mohd Fauzee Muhammad serta Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pelesenan MPK, Alias Sudin.

Dalam operasi selama dua jam bermula 11 pagi itu, 18 kompaun berjumlah RM4,000 dikenakan terhadap dua pemilik restoran yang melanggar syarat lesen.

Antara kesalahan ialah tidak memiliki pas kesihatan, tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan, tidak memakai kasut dan bahan makanan tidak bersih.

Abdul Rahim berkata, sikap dua pemilik restoran yang memandang mudah berhubung syarat lesen amat dikesali.

“Atas sebab itu kita mengeluarkan 18 kompaun untuk memastikan pemilik restoran mengutamakan kebersihan dan bukannya keuntungan semata-mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:02 PM