ABDUL Rahman. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Rahman. FOTO Arkib NSTP
Fahmy Azril Rosli


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa membentuk barisan Kabinet kerajaan secepat mungkin supaya negara boleh terus bergerak seperti biasa.

Ahli Unit Komunikasi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana rakyat dalam keadaan resah dan gelisah menunggu barisan Kabinet meskipun sudah seminggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selesai, namun tiada bayangan jelas pembentukan Kabinet.

Beliau berkata, banyak pengumuman dasar dan hala tuju kerajaan diumumkan oleh mereka yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan.

"Hal ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian.

"Menjadi harapan kami, penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara. Urusan mentadbir negara perlu didahulukan daripada pertimbangan lain.

"Kami mahu proses pelantikan menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja. Pelantikan yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memberi contoh yang berlaku terhadap Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri mendapat reaksi negatif daripada rakyat.

Beliau berkata, sudah pasti Dr Mahathir tahu bahawa Guan Eng kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani perbicaraan, maka tidak hairanlah Perdana Menteri membuat pusingan U mengenai pelantikan Menteri Kewangan setelah tindakannya dipersoal rakyat.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dengan baik dan tenteram selain mahu kerajaan ketika ini segera memenuhi segala janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.

"Ini termasuk memberi autonomi segera kepada Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15 peratus royalti minyak kepada dua negeri berkenaan termasuk Kelantan dan Terengganu.

"Pastinya, pakar-pakar ekonomi yang dilantik akan mampu mencari jalan untuk mengotakan semua janji-janji ini.

"Justeru, kami ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan PH dan berharap mereka bekerja keras untuk memakmurkan negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 3:06 PM