DR Mahathir (kiri) dan Guan Eng. FOTO arkib NSTP
DR Mahathir (kiri) dan Guan Eng. FOTO arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli dan Arfa Yunus


BIARPUN menerima kecaman berhubung pelantikan kaum Cina sebagai Menteri Kewangan dalam negara majoriti Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin beliau melakukan keputusan yang tepat.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berjaya membuktikan dirinya layak untuk berada dalam Kabinet berikutan kemampuannya menguruskan Pulau Pinang semasa DAP bergelar parti pembangkang.

Dr Mahathir turut menekankan seseorang individu itu tidak sepatutnya dihakimi berdasarkan kaum sebaliknya pengetahuan dan kualiti yang dimiliki.

“Seperti yang diketahui, apabila DAP mengambil alih Pulau Pinang, mereka berjaya menguruskan kewangan lebih baik berbanding kerajaan terdahulu (Barisan Nasional). Mereka pula tidak boleh bergantung kepada Kerajaan Persekutuan kerana bergelar parti pembangkang ketika itu.

“Namun, kita lihat mereka mampu menguruskan kewangan dengan lebih baik. Justeru, kita memerlukan individu yang berkualiti, bukan hanya ahli parti, Melayu, Cina atau India.

“Saya mahu lantik seseorang yang memahami kewangan dan berjaya membuktikan kemampuannya. Itulah sebab saya bawa Guan Eng masuk,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama akhbar The Edge Weekly.

Pada 12 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumkan tiga senarai teratas Kabinet termasuk Guan Eng yang juga seorang bekas ahli perbankan dan akauntan.

Ini adalah kali ketiga dalam tempoh enam dekad sejak kemerdekaan negara, jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh kaum Cina.

Apa yang lebih pelik ilah hakikat bahawa Guan Eng pernah dipenjarakan sebanyak dua kali ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memegang jawatan Menteri Kewangan sebelum beliau terpaksa melepaskan dua jawatan itu selepas mengalami kekalahan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Apabila tidak memilih kaum Melayu untuk satu daripada jawatan utama dalam Kabinet, Dr Mahathir berkata, pemilihan kaum tidak menjanjikan kewibawaan bagi sesebuah jawatan.

“Kita ada orang Melayu. Sudah tentu orang Melayu menginginkan Melayu (sebagai Menteri Kewangan) tetapi kita pernah melantik seorang Melayu sebagai Menteri Kewangan dan dia sudah kehilangan sejumlah besar wang... dan dia juga Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 7:02 PM