TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
BERNAMA

TIDAK adil untuk meletakkan kesalahan pada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam situasi politik negara yang tidak menentu, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata tindakan diambil oleh Perdana Menteri itu tidak seharusnya digambarkan sebagai satu penderhakaan, sebaliknya jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara.

“Nama beliau dicadang bagi selesaikan krisis, bukan soal penderhakaan yang digambarkan. Saya fikir rakyat harus lihat dalam konteks yang positif, bukan tuduh dan mencerca beliau (Muhyiddin),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menyentuh mengenai ucapan sulung Muhyiddin semalam yang berhasrat melantik anggota jemaah menteri dalam kalangan individu bersih, berintegriti dan berkaliber, Tuan Ibrahim berkata hasrat itu seiring dengan kehendak rakyat, yang menginginkan kerajaan bersih.

“Mudah-mudahan apa yang dihasratkan dapat dicapai...cuma daripada segi pembentukan kabinet kita akan tunggu beliau mengumumkannya,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, Ahli Parlimen Pagoh itu seharusnya diberi peluang menjalankan tugas mentadbir negara.

Semalam, Perdana Menteri dalam ucapannya bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ berjanji melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu bersih, berintegriti dan berkaliber selain membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan serta amalan yang berkaitan.

Senada dengan Tuan Ibrahim, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, menyifatkan pelantikan Muhyiddin sebagai penawar kepada kemelut politik negara sejak hampir seminggu lalu.

Justeru, beliau mahu rakyat terbuka menerima pelantikan itu dan memberi peluang kepada kerajaan baharu mengemudi negara dan pentadbiran di bawah Muhyiddin sebagai perdana menteri perlu berusaha ke arah memulihkan ekonomi, bagi mewujudkan persepsi positif negara luar terhadap Malaysia.

“Saya yakin perdana menteri (Muhyiddin) dan barisan kabinet (yang akan dibentuk) mampu menyelesaikan amanah yang tertangguh sebelum ini, dan mengatasi kerisauan rakyat terhadap situasi politik negara. Berilah peluang kepada beliau untuk menggembeleng tenaga, untuk memulihkan hal ehwal negara termasuk pembangunan selain mengembalikan keyakinan pelabur,” katanya.

Memuji sikap Muhyiddin yang menerima pelantikannya sebagai perdana menteri bukan untuk menimbulkan konfrontasi dengan mana-mana pihak, Ismail yakin dengan pengalaman Muhyiddin dalam kerajaan sebelum ini, pemimpin itu mampu membawa pentadbiran negara ke landasan yang dikehendaki oleh rakyat.

Bagi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, beliau menyifatkan Muhyiddin sebagai pemimpin prihatin yang tahu mengenai masalah rakyat, apabila turut menyentuh mengenai ekonomi dan keperluan rakyat dalam ucapan sulungnya.

“Saya gembira apabila perdana menteri berkata yang beliau akan memperbaiki kos kehidupan, ini menunjukkan yang beliau tahu masalah rakyat.

“Beliau (Muhyiddin) juga akan meningkatkan kualiti pendidikan dan ini sangat penting untuk rakyat. Kita harap apa yang beliau ucapkan dan janji akan dilaksanakan, dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata pihaknya berharap hasrat Muhyiddin yang inginkan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah, menjadi kenyataan.

“Seluruh warga negara Malaysia amat membenci pemimpin yang tidak berintegriti dan terlibat dengan rasuah, jadi saya rasa itu satu ucapan yang cukup dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan berharap ia (ucapan) menjadi realiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:01 PM