Anwar (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada majlis makan malam bersama komuniti Cina yang diadakan di Tapak Letak Kereta PJS 8/7, Petaling Jaya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Anwar (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada majlis makan malam bersama komuniti Cina yang diadakan di Tapak Letak Kereta PJS 8/7, Petaling Jaya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Siti Nur Mas Erah Amran dan R Manirajan

KETUA Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau ada menolak tawaran jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau menegaskan enggan memegang sebarang jawatan kerana ingin membantu memperkukuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekarang saya tak ada apa-apa jawatan. Baru cadang jadi Presiden UIA pun saya tak nak sebab saya nak sokong kerajaan bawah Dr Mahathir supaya kuat dengan sokongan padu rakyat.

“Saya tak nak ada masalah, biar kerajaan baharu ini dapat ditadbir dengan baik supaya kita dapat tingkatkan ekonomi dan menjaga rakyat.

“Bila sampai giliran saya nanti nanti, saya akan ambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana dalam siri kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Ara Damansara hari ini.

Anwar menegaskan, biar Kabinet berbincang berhubung pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu.

“Biarlah Kabinet yang bincang,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Selasa lalu, Kesatuan Kakitangan Akademik (ASA) UIAM menerusi laman Facebook, mengucapkan tahniah atas pelantikan Maszlee sebagai presiden universiti itu bagi menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lalu.

Pelantikan itu menimbulkan polemik kerana bertentangan dengan manifesto PH yang menjanjikan autonomi serta membebaskan universiti awam (UA) daripada campur tangan politik, khususnya membabitkan lantikan Naib Canselor serta timbalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 1:06 AM