Nur Lela Zulkipli

ISTANA Negara menafikan dakwaan sengaja melengahkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Negara Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerima keputusan rasmi PRU-14 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 2.45 petang, hari ini.

“Sementara baginda menerima surat daripada ahli komponen Pakatan Harapan pada jam 1.38 petang hari ini menyokong pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

“Selepas menerima dan mengesahkan dokumen berkenaan, baginda bertemu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pada jam 5 petang di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Wan Ahmad, selepas menemubual dan mendengar pandangan kesemua ahli komponen Pakatan Harapan, baginda memutuskan untuk mengundang Dr Mahathir membentuk Kerajaan Persekutuan mengikut Perkara 43 (2a) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda kemudiannya bersetuju untuk memberi kebenaran kepada Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 9.30 malam ini.

“Baginda melaksanakan tugas dan fungsinya dengan setia sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa sama turut menyokong dan menghormati proses demokrasi dan keinginan rakyat.

“Baginda turut berharap untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir bersama pentadbirannya bagi kebaikan rakyat jelata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 10:21 PM