Majlis Tindakan Ekonomi dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto NSTP
Majlis Tindakan Ekonomi dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


PEJABAT Perdana Menteri, hari ini, mengumumkan pelantikan 16 ahli bagi menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkuat kuasa serta merta.

Antara anggota yang dilantik dalam majlis itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ahli lain, antaranya Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Pofessor Dr Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Hasnita Hashim, Pengerusi Bursa Malaysia Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvaraj, Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA Nizam Mahshar.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Majlis Tindakan Ekonomi akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Menurutnya, majlis itu ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

“Matlamat utama majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Majlis ini juga akan meneliti isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” katanya.

Katanya, sekretariat bagi Majlis ini adalah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 8:56 PM