Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: “Malaysia bergerak menuju ke arah negara pengguna kepada pemain industri aktif dalam mencipta dan mengeluarkan produk keselamatan terkini,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa depan Malaysia mungkin memiliki firma keselamatan terkenal di peringkat antarabangsa bagi menghasilkan teknologi berdaya saing.

“Bagi mencapai cita-cita ini, kita perlu tingkatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) demi memenuhi keperluan dikehendaki.

“Saya harap Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) (Menteri Pertahanan) dan KSU (Ketua Setiausaha) bersama KSU saya serta Kementerian Kewangan membiayai penuh program R&D dalam industri pertahanan dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini, semalam.

 AHMAD Zahid (kanan) diiringi Hishammuddin  pada  majlis pelancaran NATSEC Asia 2018 di MITEC, semalam.
AHMAD Zahid (kanan) diiringi Hishammuddin pada majlis pelancaran NATSEC Asia 2018 di MITEC, semalam.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.

DSA 2018 dan NATSEC diadakan dari 16 hingga 19 April di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) berhampiran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Lebih 100 syarikat mempamerkan produk mereka selain 350 delegasi dari 45 negara dan 42,000 pelawat dari 70 negara dijangka hadir pada DSA dan NATSEC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:49 AM