ANBALAGAN (kanan) pada sidang media mengenai rampasan ketum di IPD Barat Daya, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
ANBALAGAN (kanan) pada sidang media mengenai rampasan ketum di IPD Barat Daya, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
Mohamed Basyir


SEBANYAK 1,660 bungkusan air ketum dirampas dalam dua serbuan berasingan di kawasan Sungai Ara dan Bayan Lepas, Balik Pulau, Rabu lalu.

Serbuan terbabit dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) pada 10.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki di Sungai Ara dan merampas 20 bungkusan air bersama daun ketum.

“Susulan daripada itu, kita menyerbu sebuah rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas dan menahan lima lelaki.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 1,640 bungkusan air ketum bersama peralatan memproses dalam rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua air ketum dirampas itu bernilai RM13,000 dan dipercayai dijual kepada pelanggan terdiri daripada nelayan serta pekerja kilang.

Menurutnya, semua suspek berusia 23 hingga 55 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau kes dadah dan seorang dikehendaki kerana kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:49 PM