Rudy Syareme Sheriffudin


Balik Pulau: Seorang lelaki dan dua wanita dicekup sebelum membawa kepada penemuan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM61,200 di dua lokasi berasingan di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 9.40 malam ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar berkata, pasangan kekasih berusia 51 dan 56 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalan berjaya menemui tiga bungkusan plastik ketulan dadah jenis Heroin seberat 1.370 gram dan dua bungkusan balutan kertas yang mengandungi Syabu seberat 108 gram.

Katanya, keesokan harinya pada jam 12.05 tengah malam pihaknya melancarkan satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Ara.

"Dalam serbuan itu, polis menemui lima paket dan enam straw berisi serbuk Heroin seberat 11 gram, dua peket syabu seberat 2.9 gram, 30 biji pil eramin 5 seberat 15 gram dan empat peket syabu seberat 64 gram.

"Polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Gelugor kira-kira jam 2 pagi hari yang sama dan menahan seorang lagi wanita berusia 51 tahul," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga bungkusan plastik berisi heroin seberat 1,372 gram dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM61,200.

Anuar berkata, polis turut menyita dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Gen 2 dan wang tunai RM572.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 12:32 PM