ACP Azmi Adam (tiga dari kiri) semasa sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
ACP Azmi Adam (tiga dari kiri) semasa sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Bayan Lepas: Polis Pulau Pinang tahan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes pinjaman wang tanpa lesen membabitkan nilai rampasan lebih RM500,000 di sebuah rumah di sini, Sabtu lalu.

Suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) selepas dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak 2008.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan haram itu tanpa memiliki lesen dengan memberi pinjaman kepada peniaga kecil dan sederhana termasuk nelayan pelbagai kaum.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihaknya merampas wang tunai bernilai RM545,599 dan 51 keping cek pelbagai agensi perbankan berjumlah RM846,000 yang belum ditunaikan, 47 keping kad peminjam yang mengandungi butiran bayaran peminjam.

Katanya, polis turut menemui 49 keping kad peminjam kosong, dua salinan kad pengenalan peminjam, satu kad pengenalan, 10 keping buku bank milik suspek dan peminjam, sekeping kad pengeluaran wang automatik (ATM), dua telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 4:03 PM