M Hifzuddin Ikhsan


DATUK Seri Najib Razak memberi jaminan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dilantik dalam kalangan pemimpin parti komponen jika Barisan Nasional (BN) mendapat mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini, UMNO tidak akan menuntut jawatan berkenaan.

Katanya, sejak dahulu lagi, UMNO menghormati rakan parti komponen lain dan konsep itu diteruskan sehingga hari ini sebagai lambang persefahaman yang kukuh.

“Sekiranya kita mendapat mandat pada pilihan raya kali ini, bakal Ketua Menteri tetap bukan dari UMNO dan akan diserahkan kepada parti komponen BN.

“Persefahaman ini kita pegang sejak dahulu lagi dan BN akan teruskan kerana kita sentiasa bersikap adil kepada semua pihak,” katanya ketika berucap merasmikan Lampu Jalan Kampung di Teluk Kumbar, Bayan Lepas, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

NAJIB merasmikan projek Lampu Jalan Kampung sambil diperhatikan Zainal Abidin (kanan) dan Teng (dua kiri) pada majlis Makan Malam Bersama Rakyat, malam ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
NAJIB merasmikan projek Lampu Jalan Kampung sambil diperhatikan Zainal Abidin (kanan) dan Teng (dua kiri) pada majlis Makan Malam Bersama Rakyat, malam ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Mengenai projek tambakan laut yang dirancang dilaksanakan kerajaan pimpinan DAP di kawasan perairan berdekatan Teluk Kumbar, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak pernah bersetuju dengan projek itu.

“Projek (tambakan laut) ini dikatakan dilaksana bagi menampung Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang tetapi bakal menutup periuk nasi nelayan tempatan.

“Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai projek pengangkutan seperti Transit Aliran Massa (MRT), Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tetapi kita tidak pernah tebus tanah,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta pengundi di Pulau Pinang menyokong BN bagi membolehkan projek tambakan laut terbabit dapat dibatalkan demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:55 PM