AHMAD Zakiyuddin pada sidang media mengenai projek PSI dan isu dihadapi termasuk himpunan nelayan yang membantahnya. FOTO Mikail Ong.
AHMAD Zakiyuddin pada sidang media mengenai projek PSI dan isu dihadapi termasuk himpunan nelayan yang membantahnya. FOTO Mikail Ong.
BERNAMA

Georgetown: Persatuan nelayan seharusnya memberi keutamaan kepada kebajikan nelayan dan bukannya menjadikan persatuan sebagai platform untuk mendesak atau mengugut golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan satu perhimpunan yang dirancang sekumpulan nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantah projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) di Teluk Kumbar, Ahad ini.

Katanya, difahamkan semua nelayan yang menerima elaun sara hidup dan subsidi minyak di negeri ini diwajibkan menghadiri perhimpunan itu dan mendaftarkan kehadiran mereka atau elaun dan subsidi itu akan disekat.

"(dalam) Surat ketua-ketua unit kepada semua ahli nelayan masing-masing, terdapat satu perenggan yang menyatakan bahawa mesyuarat bersama-sama ketua unit telah bersetuju dan memutuskan bahawa tidak akan menyokong sebarang permohonan yang memerlukan pengesahan ketua unit sekiranya ahli-ahli tidak dapat hadir tanpa sebab yang munasabah.

"Saya mengecam tindakan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) kerana telah menggunakan pengesahan ketua-ketua unit untuk permohonan nelayan sebagai umpan untuk hadir ke perhimpunan awam yang dijadualkan ini," katanya dalam sidang media di sini ,hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata, sebelum ini telah terdapat beberapa kes nelayan yang menyokong PSI tidak diperakukan untuk mendapat elaun sara hidup dan subsidi minyak, selain dilucutkan keahlian daripada unit dan persatuan nelayan masing-masing atas alasan menyokong projek berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa elaun dan subsidi minyak yang diberikan kepada nelayan tersebut adalah daripada peruntukan kerajaan Persekutuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

"Pihak kerajaan negeri tidak menghalang sesiapa untuk menyuarakan pendapat masing-masing tetapi semua ini haruslah dilakukan secara profesional tanpa menjejaskan hak nelayan.

"Saya di sini ingin memberi jaminan kepada golongan nelayan yang terlibat bahawa Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Taskforce Nelayan di Permatang Damar Laut, Gertak Sanggul dan Sungai Batu sedia membantu mereka yang menghadapi masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 6:05 PM