Zuhainy Zulkiffli


PROJEK Penang South Reclamation (PSR) yang bakal dijalankan di bahagian selatan perairan Pulau Pinang terus mendapat bantahan nelayan berikutan ia memberi kesan terhadap alam sekitar dan ekosistem.

Sekiranya diteruskan, kesannya bukan sahaja membabitkan nelayan di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang, tetapi lebih 6,000 nelayan seluruh negeri di bahagian utara akan terjejas.

Wakil dari Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Faizal Zabri, 36, berkata, ia bukan sahaja menyebabkan perairan berselut dan kemusnahan ekosistem, malah merosakkan pukat dan bot.

Katanya, pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri seolah-olah menutup mata terhadap kebajikan dan masa depan nelayan di negeri ini.

“Lihat sahaja yang berlaku di perairan Persiaran Gurney ketika ini (bagi projek Gurnye Wharf), bukan sahaja nelayan di situ terjejas, malah Tanjung Tokong hingga ke Batu Feringgi dan Balik Pulau turut terkesan.

“Kami kesal kerana sehingga kini nelayan yang terbabit tidak pasti berkenaan pampasan atau hala tuju projek itu kerana tidak mendapat penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Teluk Kumbar, Georgetown, semalam.

Faizal ditemui ketika menyertai lebih 30 nelayan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) mengadakan bantahan aman.

Terdahulu, kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar (4,500 ekar) kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang.

Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 hingga 50 tahun.

Faizal berkata, cadangan dikemukakan persatuan nelayan kepada kerajaan negeri dilihat tidak dapat membantu atau membela nasib nelayan bagi jangka masa panjang.

Katanya, pemberian bot dengan enjin lebih besar serta pembesaran jeti nelayan seperti dicadangkan di kawasan terbabit hanya akan meningkatkan kos sedangkan hasil tangkapan terjejas teruk disebabkan projek tambakan itu.

“Berikutan tambakan ini kelak, nelayan terpaksa pergi lebih jauh ke laut bagi menangkap ikan sedangkan sebahagian besar mereka sudah berusia serta membabitkan kos agak tinggi.

“Komuniti nelayan keseluruhan tidak mendapat input atau maklum balas menerusi cadangan transformasi nelayan yang dibuat beberapa persatuan bagi pertimbangan kerajaan negeri,” katanya.

Difahamkan, lebih 200 penduduk di kawasan terbabit sudah menerima notis mengosong dan merobohkan binaan bangsal nelayan berikutan didirikan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.

Notis bertarikh 11 Mac 2019 itu memberi tempoh selama dua minggu kepada penduduk bagi mengosongkan bangsal yang dijadikan gerai oleh nelayan sejak lebih 20 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 2:01 AM
SEBAHAGIAN nelayan berkumpul mengadakan bantahan cadangan projek penambakan laut Pulau Pinang semasa sidang media di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, semalam. FOTO Danial Saad.
SEBAHAGIAN nelayan berkumpul mengadakan bantahan cadangan projek penambakan laut Pulau Pinang semasa sidang media di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, semalam. FOTO Danial Saad.