Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kira-kira 4,000 ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) serta wakil nelayan dari Kedah dan Perak menyertai himpunan membantah projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di hadapan Pasar Nelayan Sungai Batu di sini, hari ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar berkata pihaknya konsisten membantah projek terbabit demi melindungi kawasan berteluk paling luas di negeri ini meliputi Gertak Sanggul sehingga ke Permatang Damar Laut yang kaya dengan hasil laut termasuk menjadi tempat pembiakan udang dan ikan.

Beliau menyuarakan kebimbangan dengan rancangan pembinaan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon dengan keluasan 920 hektar akan menutup kawasan berteluk itu kira-kira 45 peratus.

"Kawasan berteluk itu begitu luas sejauh lebih 10 kilometer dan ia terlindung daripada angin Barat Daya jadi keadaan lautnya tenang dan kawasan itu menjadi tumpuan nelayan termasuk dari Kedah dan Utara Perak kerana dilimpahi hasil tangkapan yang tidak putus-putus

"Keadaan ini berbeza dengan Teluk Bahang yang mana kawasan teluknya lebih kecil serta terdedah tiupan angin Barat Daya menyebabkan ombak bergulung. "Walaupun angin sudah tiada ombak masih kekal bergulung kadang-kadang empat atau lima hari sehingga seminggu menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut," katanya ketika ditemui, hari ini.

Arshad turut tidak bersetuju dengan pandangan seorang nelayan pro PSI yang menyatakan selagi ada arus ikan akan terus membiak sebaliknya beliau menegaskan hidupan laut tidak akan dapat membiak jika habitatnya kotor dan berlumpur.

"Ikan boleh membiak dengan syarat arusnya bersih tetapi melihat kesan tambakan sebelum ini membabitkan (STP) Seri Tanjung Pinang kalau kita labuh pukat melekat selut hitam kalau begitu keadaannya bagaimana ikan nak membiak?" katanya.

Sementara itu, Pengerusi PEN Mutiara Ibrahim Che Ros, berkata pihaknya dimaklumkan pengambilan pasir untuk projek berkenaan akan dijalankan di dua lokasi iaitu 10 batu nautika dari barat Pulau Kendi meliputi kawasan berkeluasan 30 kilometer persegi.

Sementara, satu lagi lokasi dianggar sejauh 20 hingga 40 batu nautika dari selatan Pulau Kendi membabitkan kawasan seluas 90 kilometer persegi dengan kedua-dua lokasi itu adalah tempat nelayan menahan pukat.

"Seandainya jadi mereka mengambil pasir di sana, kawasan itu sangat luas dan juga tempat nelayan menahan pukat jadi kami sangsi jika pihak pelaksana projek dapat mengawal selut, mendapan tanah dan sebagainya di kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menyangkal dakwaan pihaknya mengugut membatalkan elaun sara hidup dan subsidi minyak ahli PEN Mutiara yang tidak menghadiri himpunan hari ini.

"Ketua Unit Nelayan tiada kuasa menyekat elaun sara hidup atau subsidi minyak ini tertakluk di bawah kelulusan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) jadi maklumat itu tidak benar," katanya.

Terdahulu, perhimpunan aman yang berlangsung hampir dua jam itu turut disertai Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman, Naib Presiden Penang Heritage Trust, Khoo Salma Nasution selain penduduk setempat.

Khamis lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan pembinaan Pulau A dan B seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu dengan pengurangan keluasan membabitkan 49 peratus dari keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.

Kira-kira 4,000 nelayan, penduduk setempat, ahli-ahli NGO serta pemimpin parti-parti politik Perikatan Nasional (PN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Pas dan lain-lain menyertai perhimpunan aman, bagi membantah Projek Tiga Pulau Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dianjurkan di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Kira-kira 4,000 nelayan, penduduk setempat, ahli-ahli NGO serta pemimpin parti-parti politik Perikatan Nasional (PN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Pas dan lain-lain menyertai perhimpunan aman, bagi membantah Projek Tiga Pulau Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dianjurkan di Pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 4:08 PM