Syazwan Msarmohdsy

[email protected]

Foto Zulfadhli

Kuala Lumpur: Majlis meraikan Sambutan Ulang Tahun Harian Metro (HM) ke-27 di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini, dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 tetamu terdiri daripada kakitangan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Antara tetamu yang hadir ialah Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Yahaya; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi NSTP, Saidon Idris; dan Pengarang Eksekutif HM, Tuan Asri Tuan Hussein.

Yushaimi berkata, ikatan kekeluargaan yang ditunjukkan kakitangan HM seharusnya dicontohi dalam mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan NSTP.

“Hubungan erat antara kakitangan dapat membantu dalam mencapai matlamat NSTP pada masa akan datang dan keadaan itu harus kekal dalam mewujudkan suasana kerja lebih kondusif,” katanya ketika berucap pada majlis terbabit, hari ini.

Sementara itu, Tuan Asri berkata, sambutan berkenaan diadakan bagi meraikan kakitangan NSTP yang melalui pelbagai transformasi dalam memastikan akhbar keluaran syarikat berkenaan terus mendapat perhatian umum.

“Ada kakitangan mungkin tidak biasa atau jarang berjumpa dan menerusi sambutan seumpama ini, mereka boleh kenal dengan lebih dekat lagi antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, pada era globalisasi dengan akhbar melalui pelbagai cabaran dan rintangan memerlukan kerjasama dan kesepakatan antara kakitangan dalam memacu syarikat supaya terus kekal relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:02 PM
KUALA LUMPUR 27 MAC 2018. Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya (tengah) bersama Pengarang Eksekutif Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (empat kiri) dan Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi, Saidon Idris (empat kanan) memotong kek sempena Majlis Jamuan ulang tahun Harian Metro ke-27 di Balai Berita, Bangsar . NSTP/ ZULFADHLI ZULKIFLI.ZULFADHLI ZULKIFLI