LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat (gambar kecil).
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat (gambar kecil).
Iskandar Shah Mohamed


“JIKA dia masih tidak menghadiri prosiding itu, tindakan lanjut terpulang kepada mahkamah kerana kita sudah menyerahkan notis kepadanya," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Beliau mengulas kegagalan seorang wanita hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu lalu untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya atas pertuduhan mendera pembantu rumahnya.

Fadzil berkata, pihaknya menyerahkan notis kehadiran ke mahkamah itu kepada Rozita Mohamad Ali, 44, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 3 petang Jumaat lalu.

“Selepas menerima arahan mahkamah, kita berusaha mengesan dia dan memintanya hadir ke IPD (Petaling Jaya) itu untuk menyerahkan notis berkenaan.

“Kini, dia sudah menerimanya dan perlu akur untuk hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan," katanya ketika ditemuipada majlis Perhimpunan Sempena Hari Polis ke-211 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Ketika ditanya adakah Rozita dikenakan waran tangkap jika masih gagal hadir ke mahkamah, menurut Fadzil, ia turut bergantung sepenuhnya kepada keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, kata Fadzil, pihaknya sehingga kini tidak dapat mengesahkan wanita berkenaan mempunyai gelaran Datin.

“Sepanjang proses siasatan, kita merekodkan namanya hanya sebagai Rozita Mohamad Ali," katanya.

Rabu lalu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini selepas Rozita gagal hadir ke untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah turut memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan Rozita.

Media turut melaporkan wanita itu juga sudah disenarai hitam untuk ke luar negara atas arahan mahkamah.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas pertuduhan mendera pembantu rumahnya, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Suri rumah itu sebelum ini berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal iaitu cubaan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).

Bagaimanapun, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, malah lebih 70,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org setakat ini yang menuntut hukuman lebih tegas.

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa pada 21 Jun 2016.

Berita berkaitan

'Datin' zalim berjaya dikesan

Passport dah kena 'blacklist'

Datin Rozita tak muncul

Fail rayuan bon Datin dera amah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 11:46 AM