DATIN Rozita Mohamad Ali. FOTO NSTP
DATIN Rozita Mohamad Ali. FOTO NSTP
Teoh Pei Ying


WANITA bergelar Datin yang didakwa menyebabkan kecederaan pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu, sudah disenarai hitam untuk ke luar negara atas arahan mahkamah.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan wanita itu dipercayai masih berada di dalam negara.

"Semakan di dalam sistem kita mendapati dia masih berada dalam negara.

"Atas arahan mahkamah, dia tidak boleh meninggalkan negara ini kerana pasportnya sudah disenarai hitam," katanya.

Semalam, Rozita Mohamad Ali, 44, dan penjaminnya, gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendengar permohonan semakan semula hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad yang mengendalikan prosiding itu berkata, pihaknya sudah cuba mengesan Rozita dan penjaminnya di beberapa lokasi sejak kelmarin untuk menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah, namun gagal.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini.

Mahkamah turut memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk mengesan Rozita.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita atas pertuduhan itu, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memerintahkan sedemikian selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah apabila pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding perbicaraan kes terhadapnya.

Suri rumah itu sebelum ini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal iaitu cubaan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkannya pertuduhan pindaan (menyebabkan cedera parah).

Bagaimanapun, pelbagai pihak menzahirkan rasa tidak puas hati, termasuk Pejabat Peguam Negara yang turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Selain itu, lebih 70,000 individu menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org setakat ini yang menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap Rozita dan mahu keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat dan harta.

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Pada 21 Disember 2016, Suyanti melarikan diri dan ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan sebelum diselamatkan.

Berita berkaitan:

Datin didakwa cuba bunuh amah

Fail rayuan bon Datin dera amah

Ringan sangat hukuman tu...

Datin Rozita patut disenarai hitam - PPIM

Tunggu Rabu ini...

Datin Rozita tak muncul

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 8:16 PM