Datin Rozita Mohamad Ali, 44 hadir bersama Peguam, Mohd Yazer Yazid atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso menggunakan pisau, payung dan mop lantai. Perbicaraan berlangsung di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Datin Rozita Mohamad Ali, 44 hadir bersama Peguam, Mohd Yazer Yazid atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Suyanti Sutrinso menggunakan pisau, payung dan mop lantai. Perbicaraan berlangsung di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ahmad Suhael Adnan


LEBIH 14,000 individu menandatangani petisyen menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap seorang Datin yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.

Petisyen itu dilancarkan susulan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam, yang membenarkan tertuduh, Datin Rozita Mohamad Ali, dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.

Ia ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sehingga 3.48 petang tadi, petisyen bertajuk 'Tuntutan keadilan sama rata' yang mula dilancarkan semalam, sudah mengumpul 14,122 tanda tangan daripada 15,000 tanda tangan yang disasarkan.

Petisyen itu antara lain menolak keputusan mahkamah itu, dan mahu keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat dan harta.

Ia turut menuntut Rozita, 44, dikenakan tindakan lebih tegas, selain menyifatkan 'jenayah' terhadap pembantu rumah, Suyanti Sutrinso, 19, itu sebagai keji dan tidak berperikemanusiaan.

"Walaupun (tertuduh) seorang Datin, kaya dan memiliki hubungan (dengan individu tertentu), tidak memberi hak kepadanya untuk bertindak sedemikian.

"Apakah mesej kita yang cuba sampaikan kepada rakyat dan kanak-kanak? Malaysia perlu meneliti isu hak asasi manusia dengan serius," kata kenyataan dalam petisyen itu.

Keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan ia terlalu ringan, malah pengamal undang-undang sendiri membantahnya kerana implikasi hukuman itu, memberi gambaran salah terhadap perundangan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata beliau sudah mengarahkan rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah terbabit.

Ketika awal pendakwaan, tertuduh berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dengan menggunakan pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lalu, tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, ketika prosiding disambung pada Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 326, jika sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh terhadap tuduhan pindaan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, membenarkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.

Berita berkaitan:

Datin didakwa cuba bunuh amah

Fail rayuan bon Datin dera amah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 4:57 PM