Bangunan baru GiatMARA Jerai bernilai RM8.1 juta. FOTO Sharul Hafiz Zam
Bangunan baru GiatMARA Jerai bernilai RM8.1 juta. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


GIATMARA akan menggantikan kursus-kursus yang ditamatkan dengan yang baru dan lebih praktikal dengan pasaran pekerjaan semasa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kursus seperti pembuatan kek dan roti serta solekan kecantikan sudah lama ditawarkan sehingga mewujudkan limpahan pekerjaan dalam industri.

"Kursus berkenaan sudah lama diwujudkan dan mempunyai limpahan pekerjaan dan tiba masanya ia digantikan dengan kursus yang lebih bersesuaian dan terkini dengan keadaan semasa.

"Tujuannya adalah bagi meneroka pelbagai industri yang melahirkan tenaga kerja mahir dalam pasaran kerja yang pelbagai ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bangunan GiatMARA Jerai, di Jalan Titi Hayun, Yan, Jerai hari ini.

Katanya, disebabkan itu juga, GiatMARA kini sudah mula menawarkan kursus seperti kursus perkhidmatan rel kereta api berkelajuan tinggi dan teknologi pembuatan komposit aeroangkasa bagi membolehkan pelatih di pusat pengajian itu meneroka bidang berkenaan yang semakin berkembang di negara ini.

"Penawaran kursus seperti itu juga adalah selaras dengan permintaan serta perkembangan semasa di negara ini dan ia turut disesuaikan dengan kebolehpasaran pekerjaan di sesuatu kawasan itu.

"Kursus berkenaan termasuk kursus perkhidmatan rel kereta api berkelajuan tinggi sudah pun diwujudkan pada tahun lalu oleh GiatMARA memandangkan banyak projek negara ini seperti Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang bakal dilaksanakan.

"Selain itu juga, terdapat kursus baru seperti kursus pembaikan bot sedang dipertimbangkan untuk diwujudkan terutama di kawasan seperti Kuala Kedah yang mempunyai populasi nelayan yang ramai di kawasan berkenaan dan ini sangat bersesuaian dengan keadaan di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, kursus yang ditawarkan oleh GiatMARA adalah selaras dengan perkembangan negara yang sedang menuju negara maju.

"Memang kursus baru ini dirancang bersesuaian dengan keadaan semasa negara ini yang sedang menuju sebuah negara maju dan kita akan meneliti untuk merangka lagi kursus yang dirasakan bersesuaian dengan keadaan semasa serta kawasan sesuatu tempat itu.

"Setakat ini, terdapat sebanyak 667 buah kursus di 230 buah GiatMARA di seluruh negara dengan lebih 2,000 tenaga kerja," katanya.

Ismail berkata, apa yang lebih membanggakan terhadap penawaran kursus baru ini seperti kursus teknologi pembuatan komposit aeroangkasa adalah pembabitan buat pertama kalinya dalam kalangan bekas pelajar tahfiz dari seluruh negara.

"Mereka (pelajar tahfiz) ini bukan sahaja berkeupayaan mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam tetapi mempunyai juga kemahiran dalam aeroangkasa.

"Kursus ini kita adakan di GiatMARA Simpang Empat di Melaka dan kita yakin ia mampu melahirkan pelajar dan tenaga mahir berkualiti nanti," katanya.

GiatMARA yang sudah ditubuhkan sejak 1986 berjaya melahirkan seramai 394,828 bekas pelajar dengan 85 peratus daripadanya sudah pun bekerja dalam sektor tertentu termasuk menjadi usahawan.

Katanya, lebih membanggakan adalah kursus serta pelatih GiatMARA turut mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara menerusi pembabitan dalam pelbagai pertandingan membabitkan kemahiran.

Sementara itu,dalam majlis berkenaan, Ismail merasmikan bangunan GiatMARA Jerai yang dibina dengan kos sebanyak RM8.1 juta atas tapak seluas dua hektar.

Selain itu juga, antara kursus yang ditawarkan di GiatMARA Jerai adalah seperti Kursus Pendawaian Elektrik, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Fesyen dan Dressmaking dan Industrial Maintenance.

Turut hadir dalam majlis itu adalah, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan Pengerusi GiatMARA, Datuk Azian Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:52 PM