PELATIH  kursus selenggara jentera berat menjalani latihan.
PELATIH kursus selenggara jentera berat menjalani latihan.
Suliati Asri


GIATMARA sentiasa memastikan kursus yang ditawarkan institusi itu relevan dengan keperluan dan permintaan industri.

Justeru, bagi mencapai hasrat itu, GiatMara memperkenalkan tujuh kursus baharu yang memberi impak kepada pelatih terutama mereka yang datang dari golongan B40.

Pengurus Besar Bahagian Kurikulum Dan Kemahiran, Ts Kamal Ahmad@Ishak berkata 90 peratus pelatih di GiatMara adalah dari kumpulan keluarga B40.

Menurutnya GiatMara perlu mencari kursus yang bukan saja boleh menawarkan pekerjaan selepas tamat pengajian tetapi juga membolehkan pelatih mendapatkan pendapatan yang tinggi.

"Kita juga sentiasa melihat keperluan negara dalam setiap bidang yang dipilih untuk ditawarkan kepada pelatih.

"Ia penting supaya pelatih mempunyai peluang untuk bekerja selepas mengambil sesuatu bidang yang diminati dan boleh menjana pendapatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penawaran kursus baharu itu, Kamal berkata berikutan peningkatan jumlah warga tua di negara ini pihaknya menawarkan Kursus Family Care Services di GiatMara Jelutong, Pulau Pinang.

"Kursus ini menggabungkan dua elemen kemahiran iaitu pertama berkaitan penjagaan kanak-kanak dan kedua penjagaan orang tua atau warga emas.

"Jadi, selepas tamat pengajian, pelatih berupaya bekerja dengan pusat penjagaan warga emas dan taska ataupun melakukan kerja secara sambilan untuk memberi perkhidmatan kepada keluarga yang memerlukan selepas tamat pengajian," katanya.

Kedua adalah Kursus penyelenggaraan Jentera Pertanian bagi memenuhi keperluan tenaga pekerja bagi menyokong bidang pertanian di GiatMara Kuala Kedah dan Tenom, Sabah bagi melahirkan lebih ramai belia berkemahiran dalam bidang memperbaiki jentera pertanian.

Menggabungkan modul pertanian dan teknologi yang lebih moden termasuklah penyelenggaraan dron pertanian, kursus ini dijangka mampu menarik minat belia dalam bidang penyelenggaraan jentera pertanian.

Ketiga adalah Kursus Beverage Management yang memberi pendedahan kepada pelatih dalam mengenai penyediaan minuman terutama kopi yang diperkenalkan seiring dengan gaya hidup terkini terutama di bandar.

Manakala Kursus Building Electrical Maintenance dan Pengiktirafan KNX Certified Training Center di GiatMara Kota Bharu, Labuan, Santubong dan Masjid Tanah.

Kamal berkata kemahiran itu membolehkan pelatih khususnya yang mengambil bidang elektrik dan pending hawa bersesuaian dengan situasi semasa di mana kebanyakan rumah ada 'smart house' dengan lampu, pending hawa, peralatan elektronik dikawal dengan aplikasi. Menariknya, modul pembelajaran kursus ini diiktiraf oleh KNX.

"Kursus kelima pula adalah Kursus Senggaraan Kenderaan Berat yang memfokuskan kepada baik pulih kenderaan berat termasuklah lori, lori kontena, bas dan banyak lagi.

"Keenam, adalah Kursus Produksi Penyiaran yang ditawarkan di GiatMara Segambut dan pasir Gudang berkaitan kemahiran menggunakan peralatan kamera, penyuntingan dan kemahiran yang diperlukan dalam industri penerbitan," katanya.

Akhir sekali adalah Kursus Advance Facial Treatment yang ditawarkan di GiatMara Ampang dan bersesuaian dengan gaya hidup bandar terutama kaum hawa yang mementingkan penampilan diri.

kamal berkata selain tujuh kursus baharu itu, terdapat lebih 100 Kursus yang ditawarkan GiatMara di seluruh negara.

"Dengan penambahan kursus ini, pelajar mempunyai lebih banyak pilihan.

"GiatMara juga kini ke arah memendekkan tempoh masa kursus iaitu dari tiga hingga enam bulan sekali gus menjadi institusi yang tepat bagi pelajar yang tidak mahu terlalu lama dalam sesuatu institusi," katanya.

"Belia juga perlu mempunyai kemudahan sekurang-kurang satu kemahiran yang akan menjadi pertahanan diri di masa hadapan," tambahnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kursus yang ditawarkan di GiatMara, layari www.giatmara.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:12 AM