MAJLIS MoU projek ECRL.
MAJLIS MoU projek ECRL.
GIATMARA beri peluang kedua kepada pelajar tercicir.
GIATMARA beri peluang kedua kepada pelajar tercicir.
LULUSAN GIATMARA penuhi pasaran kerja.
LULUSAN GIATMARA penuhi pasaran kerja.
Fazurawati Che Lah


Graduan Giatmara sering dianggap tiada masa depan dan ‘tidak ke mana’ kerana kebanyakan penuntutnya adalah mereka yang tercicir dalam pelajaran.

Namun sangkaan itu kini wajar ditepis kerana latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) yang disediakan GIATMARA berupaya melahirkan 85 peratus graduan di pasaran kerjaya.

Kebolehpasaran itu berlaku berikutan kerancakan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini yang begitu memerlukan tenaga kerja berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Atas sebab itulah bidang TVET diberi lonjakan wajah baru dalam mengangkatnya ke arus perdana sistem pendidikan.

Oleh itu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menyerlah dalam prestasi akademik disaran jangan lekas berputus asa kerana pintu menuju kejayaan dalam kerjaya masih terbuka luas.

Hal ini sudah terbukti lepasan GIATMARA banyak melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk keperluan pasaran industri negara.

Selain GIATMARA, antara yang memainkan peranan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran ialah politeknik, kolej komuniti dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Setakat ini, aspek kebolehpasaran kerja dalam kalangan pelajar institusi kemahiran menduduki tangga teratas, malah graduan universiti awam pun tidak dapat menyainginya.

Sesungguhnya beruntung mereka yang belajar di institusi kemahiran kerana mereka umpama ‘pisang goreng panas’ yang menjadi rebutan pasaran pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Jamal Nasir Othman berkata, 85 peratus lepasan pusat kemahiran itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, manakala selebihnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Jadi, lepasan GIATMARA, malah di pusat kemahiran lain juga bukan hanya laris dalam pasaran kerja, malah diberi peluang menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

“Inilah kelebihan lepasan GIATMARA yang diperoleh sekarang dan hakikat itu seharusnya membuka mata semua pihak, khasnya lepasan SPM supaya tidak memandang rendah dengan keistimewaan institusi kemahiran seperti GIATMARA,” katanya.

Katanya, GIATMARA boleh disifatkan sebagai landasan terbaik untuk pelajar yang meminati bidang kemahiran mengembangkan kemahiran mereka seterusnya memenuhi penawaran kerja pada masa depan.

“Belia mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi memenuhi keperluan industri serta keperluan kegiatan ekonomi selain keusahawanan di daerah setempat dan dalam negara.

“GIATMARA ditubuhkan untuk membantu anak bangsa yang tercicir dalam bidang akademik dan tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi tumpuan GIATMARA adalah mendampingi anak bangsa selain memberi peluang kedua kepada mereka dengan menyediakan latihan kemahiran supaya boleh berdikari dan terbabit dengan bidang keusahawanan,” katanya.

Melihat perkembangan perkhidmatan awam terutama pengangkutan keretapi, GIATMARA juga dipertanggungjawab untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir.

Satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara GIATMARA bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) untuk merealisasikan kolaborasi kerjasama industri serta pihak akademik untuk program Latihan Kemahiran Industri projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dianggarkan 720 pelatih GIATMARA bakal bekerja di sektor itu pada tahun hadapan.

Menurut Jamal Nasir, lima kursus yang sesuai untuk projek itu membabitkan Kursus Teknologi Bangunan, Kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Kursus Pendawaian Elektrik, Kursus Tool & Die dan Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara.

“GIATMARA tidak menawarkan sesuatu program secara khusus dalam bidang teknologi kereta api, tetapi kursus yang ditawarkan mengikut kesesuaian dan menyokong keperluan pihak MRL bagi memastikan pembinaan ECRL menggunakan tenaga kerja tempatan.

“GIATMARA akan bersama dengan institusi pendidikan yang dipilih untuk melaksanakan program pengkhususan mengikut modul yang dikenal pasti MRL,” katanya.

Katanya, 20 pusat GIATMARA yang berjajaran dengan pelan pembinaan landasan ECRL dipilih dan akan melakukan kajian kesesuaian dangan mana Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipilih sebagai peneraju projek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:52 PM