BEKAS pelatih GiatMara, Nurhafizah Azuwar, bersama rakan mencuba peralatan perlindungan diri (PPE) di Pusat GiatMara Kuala Lumpur sebelum disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Ampang bagi menangani Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim
BEKAS pelatih GiatMara, Nurhafizah Azuwar, bersama rakan mencuba peralatan perlindungan diri (PPE) di Pusat GiatMara Kuala Lumpur sebelum disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Ampang bagi menangani Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Amin Jalil


GIATMARA meneruskan komitmen tinggi membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 dengan menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Nuriman Yusop berkata, setakat ini pihaknya menghasilkan 2,709 unit pelbagai PPE membabitkan gaun pakai buang, penutup dan tudung kepala, pakaian dan kasut.

Beliau berkata, sebanyak 16 Pusat GiatMara terbabit dalam menghasilkan PPE itu bagi kegunaan 18 hospital serta klinik kesihatan di seluruh negara.

“GiatMara menyahut cabaran sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan khususnya perubatan selain sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan perkhidmatan menjahit pelbagai jenis PPE.

“Kami sedar keperluan PPE dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa kerana tempoh memerangi wabak Covid-19 akan berterusan sehingga usaha memutuskan rantaian jangkitannya berhasil.

“Selaras dengan usaha itu, setakat 6 April lalu, sebanyak 2,709 unit pelbagai PPE dihasilkan,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Nuriman berkata, usaha menghasilkan PPE bukan sahaja dilaksanakan di Pusat GiatMara, malah jahitan dilakukan di rumah anggota kerja dan pelatih masing-masing.

Katanya, ia selaras dengan kepatuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan.

“Malah, kaedah pembelajaran & pemudahcaran (PdPc) melalui pembelajaran digital turut dipraktik dalam menghasilkan PPE ini.

“Usahawan GiatMara tidak melepaskan peluang apabila turut menyumbang di dalam program ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 6:05 PM