Perodua Alza terbabas melanggar pokok dan terbakar, namun pemandunya selamat selepas dikeluarkan orang ramai.
Perodua Alza terbabas melanggar pokok dan terbakar, namun pemandunya selamat selepas dikeluarkan orang ramai.
Junaidi Ladjana


Seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandu melanggar sebuah kereta lain dan merempuh pokok lalu terbakar di Kilometer 20, Jalan Lintas, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun yang menaiki Perodua Alza itu dikeluarkan oleh orang ramai sebelum keretanya terbakar.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Cyber City menuju ke Putatan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi di hadapan, menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan dan merempuh pokok di pembahagi jalan.

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera membantu membawa mangsa keluar dan beberapa minit selepas itu kereta berkenaan terbakar.

Perodua Myvi terbabas ke tepi jalan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu ketika dihubungi berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 3.09 pagi, sebuah jentera dan kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita dapati sebuah kereta Perodua Alza terbakar dan operasi memadam terus dilakukan.

"Api dapat dikawal jam 3.34 pagi, manakala mangsa sudah dihantar ke hospital berhampiran oleh orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 10:39 PM