Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Paras air di sembilan sungai utama di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya pada 4 petang hari ini.

Ia membabitkan lima sungai di Setiu serta masing-masing satu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Selain itu, lapan sungai lagi turut mencatatkan bacaan melepasi paras amaran, manakala satu sungai pula direkodkan melebihi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kesemua lima sungai utama di Setiu yang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 21.68 meter (m), Sungai Nerus di Kampung Bukit (13.68m), Sungai Setiu di Kampung Besut (17.56 m), Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (8.81m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (8.91m).

Empat lagi sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.81 m); Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.85 m); Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (21.37 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4.92 m).

Di Besut, tiga sungai utama iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak (34.91 m); Sungai Besut di Kampung La (21.71 m) dan Sungai Besut di Jambatan Jerteh (7.10 m) kini melepasi paras amaran.

Selain itu, paras air di Empangan Tembat yang sebelum ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 432.26m kini berada pada paras amaran iaitu 431.92 m

Turut melepasi paras amaran adalah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.16 m), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (12.39 m), Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.35 m)dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (2.28 m) di Kemaman.

Sementara itu, paras air di Sungai Terengganu di Muzium Terengganu di sini, yang berada pada paras 1.62m ketika ini turut melepasi paras waspada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:52 PM