Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali (tengah), Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun (empat dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching (tiga dari kanan) memegang kotak hadiah GOOD di hadapan butik pop-up Yayasan AirAsia Destination: GOOD di klia2.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali (tengah), Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun (empat dari kanan) dan Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching (tiga dari kanan) memegang kotak hadiah GOOD di hadapan butik pop-up Yayasan AirAsia Destination: GOOD di klia2.
Garret Dawum


KUMPULAN AirAsia menerusi Yayasan AirAsia melancarkan butik pop-up pertama yang dinamakan Destination: GOOD di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kelmarin.

Bekerjasama dengan Malaysia Airports, kedai itu menawarkan pelbagai barangan dari negara ASEAN dengan tujuan mewujudkan pengalaman membeli-belah unik kepada semua pelancong yang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, pembukaan itu selari dengan kedudukan klia2 yang dijadikan sebagai hab AirAsia yang menyediakan rangkaian paling luas di ASEAN.

“Di Destination: GOOD, terdapat lebih 200 produk yang dihasilkan secara mampan oleh 25 perusahaan sosial Asean. Antaranya, produk organik, alat tulis, aksesori dan perhiasan rumah.

“Sejak 2012, pihak kami sudah memberikan 19 geran kepada perusahaan sosial dalam mengembangkan perniagaan kerana kami sedar, mereka memerlukan bantuan ini untuk menerokai pasaran baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Perusahaan sosial tempatan yang menawarkan produk mereka di butik itu ialah Malaysian Unity of Cultures (MUOC), Bingka KL dan Batik Boutique selain tukang perak Selaka Kotagede dari Indonesia, pembuat aksesori Rags2Riches dari Filipina, tukang tenun Folkcharm dari Thailand dan pembuat kertas Zo Project dari Vietnam.

Menurut Mun Ching, jalinan kerjasama dengan Malaysia Airports membuatkan pihaknya dapat menawarkan perusahaan sosial menerusi platform antarabangsa seterusnya meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN dengan penuh makna.

“Sempena musim cuti yang akan datang, kami memperkenalkan empat kotak hadiah GOOD merangkumi pelbagai cenderamata dan dijual pada harga RM100 atau US$25 sekotak.

“Pelanggan boleh memilih tema yang berbeza seperti Perjalanan, Pakaian, Permainan, dan Masakan. Selain itu, pengguna AirAsia juga boleh membeli kotak GOOD di kedai ROKKI dalam penerbangan bermula 1 Disember ini,” katanya.

Menyokong inisiatif itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali, berkata, pihaknya menganggap kerjasama itu sebagai usaha tanggungjawab korporat sosial untuk menyokong perusahaan dari negara jiran.

“Ia juga menandakan satu inisiatif bersama oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang untuk memberikan pengalaman lapangan terbang terbaik kepada para penumpang kami,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Yayasan AirAsia, sila layari airasiafoundation.com

atau mengikuti laman Facebook di facebook.com/AirAsiaFoundation.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 5:00 PM