Kuala Lumpur: AirAsia Bhd tidak menolak kemungkinan menjalin usaha sama (JV) lagi di ASEAN selepas Thai AirAsia, Philippines AirAsia, AirAsiaZest dan Indonesia AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes semasa ditanya mengenai pelan peluasannya di ASEAN berkata, JV baru dalam pertimbangan.

ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Kami juga memberi tumpuan ke atas produk ‘terbang lalu’ (di ASEAN), yang menghubungkan tetamu jarak jauh kami ke dalam rangkaian jarak dekat,” katanya.

Untuk masa depan, beliau yakin kerajaan di rantau ini akan memansuhkan halangan yang melindungi, layan diri dan tidak adil yang telah mengehadkan pertumbuhan dan menjejaskan insentif perniagaan.

“Semangat politik ini perlu ada dalam kalangan kerajaan ASEAN, sektor swasta dan rakyat, yang akan meraih manfaat daripada penyatuan ASEAN. Sudah banyak yang dibincangkan dan kita perlu lebih banyak tindakan segera,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:54 AM