YAP (tiga dari kanan) bersama Badlisham  (tengah) memegang kotak hadiah GOOD di hadapan butik pop-up Yayasan AirAsia Destination: GOOD di klia2.
YAP (tiga dari kanan) bersama Badlisham (tengah) memegang kotak hadiah GOOD di hadapan butik pop-up Yayasan AirAsia Destination: GOOD di klia2.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Kumpulan AirAsia menerusi Yayasan AirAsia melancarkan butik pop-up pertama yang dinamakan Destination: GOOD bagi perusahaan sosial syarikat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Jumaat lalu.

Bekerjasama dengan Malaysia Airports, kedai itu menawarkan pelbagai barangan dari negara ASEAN dengan tujuan mewujudkan pengalaman membeli-belah unik kepada semua pelancong yang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, pembukaan itu selari dengan kedudukan klia2 yang dijadikan sebagai hab AirAsia yang menyediakan rangkaian paling luas di ASEAN.

“Di Destination: GOOD terdapat lebih 200 produk yang dihasilkan secara mampan oleh 25 perusahaan sosial Asean. Antaranya, produk organik, alat tulis, aksesori dan perhiasan rumah.

“Sejak 2012, kami sudah memberikan 19 geran kepada perusahaan sosial dalam mengembangkan perniagaan kerana kami sedar, mereka memerlukan bantuan ini untuk menerokai pasaran baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Perusahaan sosial tempatan yang menawarkan produk mereka di butik itu ialah Malaysian Unity of Cultures (MUOC), Bingka KL dan Batik Boutique selain tukang perak Selaka Kotagede dari Indonesia, pembuat aksesori Rags2Riches dari Filipina, tukang tenun Folkcharm dari Thailand dan pembuat kertas Zo Project dari Vietnam.

Menurut Yap, jalinan kerjasama dengan Malaysia Airports membuatkan pihaknya dapat menawarkan perusahaan sosial menerusi platform antarabangsa seterusnya meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN dengan penuh makna.

“Sempena musim cuti yang akan datang, kami memperkenalkan empat kotak hadiah GOOD merangkumi pelbagai cenderamata dan dijual pada harga RM100 atau AS$25 sekotak.

“Pelanggan boleh memilih tema berbeza seperti Perjalanan, Pakaian, Permainan, dan Masakan. Selain itu, pengguna AirAsia juga boleh membeli kotak GOOD di kedai ROKKI dalam penerbangan bermula 1 Disember ini,” katanya.

Menyokong inisiatif itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya menganggap kerjasama itu sebagai usaha tanggungjawab korporat sosial untuk menyokong perusahaan dari negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 11:12 AM