YAP (dua dari kiri) membawa Lim melawat ruang pameran yang disediakan selepas majlis pelancaran hab perusahaan sosial, Destination: GOOD. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
YAP (dua dari kiri) membawa Lim melawat ruang pameran yang disediakan selepas majlis pelancaran hab perusahaan sosial, Destination: GOOD. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
hmdigital

KUALA LUMPUR: AirAsia Berhad menerusi Yayasan AirAsia memperkenalkan hab perusahaan sosial pertamanya, Destination: Good yang mengumpulkan lebih 30 usahawan sosial dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, hab berkenaan yang terletak di REXKL dan berada di tengah lokasi bersejarah di Kuala Lumpur bakal mengetengahkan lebih 400 barang dihasilkan secara kreatif dan berinovasi.

Beliau berkata, ia bukan saja sebagai pusat jualan, malah memainkan peranan penting untuk menjadi tumpuan bagi memupuk kerjasama antara usahawan Asean serta perusahaan berasaskan komuniti.

“Sejak tujuh tahun lalu, kami memberi 24 geran kepada perusahaan sosial untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Malah, kami juga sedar untuk terus berkembang, sebuah platform diperlukan supaya kami dapat menembusi pasaran dan menarik pelanggan baharu.

“Melalui usaha Destination: GOOD, kami berharap menawarkan barang dan perkhidmatan perusahaan sosial kepada mereka yang mencari penyelesaian gaya hidup yang mampan,” katanya pada majlis pelancaran hab itu, di sini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Antara rakan perusahaan sosial Yayasan AirAsia yang hadir adalah The Basikal, Langit Collective dan The Picha Project.

Pada majlis sama, Yayasan AirAsia turut menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama Kraftangan Malaysia sebagai rakan kongsi untuk memperkenalkan kraf tangan tempatan serta Minconsult Sdn Bhd sebagai rakan korporat pertamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:58 AM