Sheikh Dr Ekrima melancarkan Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Noorazman dan Wan Zahidi Wan Teh (dua dari kiri). FOTO Abd Rahim Rahmat
Sheikh Dr Ekrima melancarkan Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut hadir Noorazman dan Wan Zahidi Wan Teh (dua dari kiri). FOTO Abd Rahim Rahmat
Nursyahirah Marzuki


IMAM Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa'ed Sabri menyifatkan Masjid Al-Aqsa adalah amanah kepada semua umat Islam di seluruh dunia ini.

Sehubungan itu, setiap umat Islam berperanan untuk membebaskan masjid ketiga paling suci itu sama ada di peringkat individu, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

"Masjid Al-Aqsa berada dalam hati umat Islam dan ia adalah satu bentuk akidah yang perlu wujud dalam diri masing-masing.

"Ini kerana Masjid Al-Aqsa adalah satu urusan penting kepada umat Islam seperti mana pentingnya Masjidil Haram dan Nabawi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA Noorazman Mohd Samsuddin.

Selain itu, Sheikh Ekrima berkata, nama Malaysia bukan lagi asing di bumi Baitulmaqdis kerana ia antara negara yang sering menghantar pelbagai bentuk bantuan kepada umat Islam di sana.

Malah, katanya, usaha berterusan dari kerajaan Malaysia turut dilakukan dalam pelbagai bidang termasuk politik untuk membantu membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman rejim Zionis.

Menurutnya, Baitulmaqdis memerlukan bantuan daripada pelbagai yayasan atau NGO yang ada termasuk dari Malaysia.

"Selain itu, kami sentiasa mengharapkan bantuan dari Malaysia sama ada bentuk kebendaan atau semangat atau perkara lain yang boleh difikirkan untuk rakyat Palestin.

"Kami juga berharap kehadiran Yayasan MyAQSA ini akan menguatkan lagi semangat umat Islam di Palestin," katanya.

Sementara itu, Noorazman berkata, Yayasan MyAQSA akan menjadi platform dalam menyatupadukan pelbagai pihak untuk bersama-sama melaksanakan agenda pembebasan Masjid Al-Aqsa.

"Kita akan membina hubungan dan kerjasama strategik dengan semua pertubuhan kerajaan dan NGO dalam kerangka membebaskan Masjid Al-Aqsa.

"Pelbagai langkah akan dibincangkan untuk terus memberi sokongan dan pelbagai bantuan kepada umat Islam di Palestin," katanya.

#kw Masjid Al-Aqsa, imam besar, Sheikh Dr Ekrima Sa'ed Sabri, Yayasan MyAQSA

#loc 2.926361, 101.696445

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 4:19 PM