Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’ed Sabri menyifatkan Masjid Al-Aqsa adalah amanah kepada semua umat Islam di seluruh dunia ini.

Sehubungan itu, setiap umat Islam berperanan membebaskan Masjid Al-Aqsa sama ada di peringkat individu, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Masjid Al-Aqsa berada dalam hati umat Islam dan ia satu bentuk akidah yang perlu wujud dalam diri masing-masing.

“Ini kerana Masjid Al-Aqsa satu urusan penting kepada umat Islam seperti mana pentingnya Masjidil Haram dan Nabawi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Yayasan MyAQSA di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA Noorazman Mohd Samsuddin.

Sheikh Ekrima berkata, nama Malaysia bukan lagi asing di bumi Baitulmaqdis kerana ia antara negara yang sering menghantar pelbagai bentuk bantuan kepada umat Islam di sana.

Katanya, usaha berterusan dari kerajaan Malaysia turut dilakukan dalam pelbagai bidang termasuk politik untuk membantu membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman rejim Zionis.

Menurutnya, Baitulmaqdis memerlukan bantuan daripada pelbagai yayasan atau NGO termasuk dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:27 AM