PEMANDANGAN udara aliran trafik Jalan Tun Razak. FOTO Aizuddin Saad
PEMANDANGAN udara aliran trafik Jalan Tun Razak. FOTO Aizuddin Saad
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mengisytiharkan Jalan Tun Razak dekat sini, dengan nama berkembar iaitu Jalan Al-Aqsa sempena Hari Al-Quds Antarabangsa, hari ini.

Gabungan itu terdiri daripada Ikatan Masjid Sedunia Membela Masjid Al Aqsar (Manar); Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim); Sekretariat Solidariti Palestin; Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat); Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan aktivis sosial.

Mereka dalam kenyataan bersama malam ini, berkata ia bertujuan memartabatkan Jalan Al-Aqsa, sekali gus menjadi platform menyampaikan mesej mengenai keseriusan rakyat Malaysia terhadap Masjid Al-Aqsa yang terancam akibat serangan rejim Zionis sejak 1967.

"Masjid Al-Aqsa adalah lambang kesatuan umat Islam, sekali gus menjadi simbol keadilan sejagat dan kesatuan kemanusiaan.

"Selain dimuliakan sebagai kiblat pertama umat Islam, Masjid Al-Aqsa juga adalah simbol kehidupan bersama antara Kristian dan Yahudi yang saling menghormati dan damai di Baitulmaqdis, sehingga rejim Zionis melakukan pencerobohan ke atas masjid berkenaan," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi Manar, Datuk Seri Ahmad Awang; Pengerusi Shura, Datuk Abdul Ghani Samsudin dan Setiausha Agong Amanah, Mohammad Faiz Fadzil

Selain itu, Briar Timbalan Menteri Luar, Datuk Raja Kamarul Bahrin Ahmad Shah; Presiden Sejagat, Syed Sheikh Alattas Syed Hassan; Pengerusi Sekretariat Solidariti Palestin, Chua Tian Chang; aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Sementara itu, mereka berpendirian pencerobohan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa adalah kemuncak kebiadapan yang tidak boleh dikompromi.

"Rejim Zionis sejak beberapa tahun lalu, memberi tumpuan untuk melaksanakan agenda judization Masjid Al-Aqsa dengan matlamat akhir mereka ialah merobohkannya dan digantikan dengan Kuil Yahudi.

"Inilah motivasi perjuangan penentangan dilancarkan Hamas, disokong pelbagai gerakan dan pertubuhan Islam antarabangsa untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa.

"Ia sehingga tercetusnya Taufan Al Aqsa oleh Hamas yang berintikan semangat Palestin tidak merdeka selagi Masjid Al-Aqsa tidak dibebaskan, pada 7 Oktober lalu," katanya.

Mengulas lanjut, mereka turut menggesa rakyat di negara ini dan seluruh aktivis Palestin memiliki tekad, kesucian Al-Aqsa perlu dipertahankan.

"(Masjid) Al-Aqsa adalah penyatu maruah umat Islam seluruh dunia serta mengabadikan rasa cinta dan mulia kepadanya. Ini melalui wujudnya simbol iaitu Jalan Al Aqsa di sini, yang akan meningkat kesedaran rakyat terhadap isu perjuangan membebaskan Palestin.

"Kami berharap Jalan Al-Aqsa ini akan kekal sebagai ikon Kuala Lumpur dan semua pihak perlu menghormati inisiatif NGO ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 9:50 PM