Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Seramai 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di gudang milik syarikat rangkaian pasar raya terkemuka di Jalan Kebun, Klang, Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan dilakukan susulan aduan dan risikan di gudang berkenaan selepas disyaki mengambil pekerja warga asing tanpa permit kerja sah.

Katanya, 30 pegawai dan anggota dari Unit Operasi Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Putrajaya menyerbu premis terbabit menerusi Op Mahir bermula jam 3.30 petang.

“Hasil serbuan, 150 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 113 individu terdiri daripada 40 warga Nepal, 39 lelaki Bangladesh, 27 lelaki Pakistan, dua lelaki India dan lima warga Vietnam termasuk dua wanita didapati bekerja tanpa dokumen sah.

“Pihak gudang terbabit menerima kakitangan itu menerusi syarikat pembekalan pekerja asing.

“Bagaimanapun, semakan mendapati syarikat berkenaan tiada lesen membekal pekerja asing daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Mustafar berkata, siasatan turut mendapati semua dokumen perjalanan warga asing terbabit tiada dalam simpanan masing-masing kerana disimpan syarikat dan ejen mereka.

Katanya, semua warga asing dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Mereka ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind 2002) iaitu Masuk dan Tinggal di Malaysia Tanpa Pas atau Permit sah dan Peraturan 39(b) Kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu Melanggar Syarat Pas, Permit atau Pas Sempadan.

“Manakala majikan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu mengambil pekerja asing tanpa permit sah,” katanya.

Mustafar berkata, bermula 1 Januari 2017 sehingga 20 Oktober 2017, pihaknya mengadakan 12,249 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya, hasil keseluruhan operasi itu 143,868 warga asing diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 37,909 PATI dari pelbagai warga negara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Selain itu 1,087 majikan turut ditahan kerana disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 7:33 AM